18 May 2010

SAAT LAFAZ SAKINAH



Saat Lafaz Sakinah

Lafaz Ikrar Sakinah ini diuntai melalui upacara akad nikah yang berlangsung di negeri Johor. Ia merupakan “lafaz penyerahan dan penerimaan”. Penyerahan dan penerimaan mas kahwin dan tanggungjawab di antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan dan juga penyerahan tanggungjawab di antara bapa dan menantu. Saat “ penyerahan dan penerimaan” tanggungjawab di antara bapa dan menantu diperhalusi lagi di dalam “Saat Lafaz Sakinah”.

Heningnya…Sunyi suasana…Lafaz Sakinah bermula

Tiba satu lagi saat selepas heningnya saat ijabkabul, yakni “ Saat Lafaz Sakinah”. Satu saat apabila didengar pada namanya begitu indah, bahagia seindah maksud Sakinah iaitu ‘ ketenangan’. Benar tenang sekiranya yang berjanji pada ‘saat’ itu benar-benar menunaikan janji.

Apa rasa..diterjemah hanya..sebak abah, tangis ibunda

Saat ini hanya ‘rasa’ yang mampu menterjemah cerita. Cerita tentang ‘rasa’ insan yang membesarkan anak perempuannya dengan penuh kasih sayang yakni abah dan ibu menyerahkan anaknya kepada seorang lelaki yang masih kabur niatnya, masih kabur ‘erti cinta’ pada anaknya. Abah yang selama ini menggasak kudratnya untuk membesarkan anaknya, yang tidak pernah kita lihat akan tangis susahnya, hari ini, ‘saat’ ini kenapa mampu kita membaca sebaknya? Ibu sekali lagi engkau menangis selepas engkau menangis gembira melahirkan anakmu… pada ‘saat ini’…”Saat Lafaz Sakinah”

Adalah aku, wali puteriku…Serah kini amanahku ini padamu..Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta..Lebih dari yang ku berikan kepadanya

Abah apa lagi yang tidak kau berikan pada anakmu? Apa kurangnya lagi kasih dan cintamu?...Sedalam mana lagi kasih dan cinta lelaki baru itu harus diberikan kepada buah hatimu itu? Jawab abah… Engkau harus curahkan kasih dan cinta sedalam dalamnya, kerana aku inginkan rasa percaya puteriku padamu berbunga-bunga …sama saat pertama kali dulu dia percaya padaku dan diserahkan jemari kecilnya untuk aku memimpinnya dan membawanya kemana-mana.

Dulu esakkannya sandar di bahuku…Tangisannya kini ku serah padamu..Bukan bermakna..dia bukan milikku…Fitrahnya perlukanmu

Ingatlah perihal hidup di dunia ini penuh warna, putih dikurnia hitam pasti ada, Mudanya di pagi kadang tuanya di senja. Akan tiba masa engkau akan terima esak dan tangisnya..janganlah sesekali engkau rasa itu beban bagimu.. jika dulu semuanya di bahu ku..tangisnya kini aku serah padamu..setialah disisinya saat itu, kerana selalunya esak dan tangisnya tidak lama..kemudiaan dia akan terus membahagiakanmu. Aku serahkan padamu bukan bermakna dia bukan milikku…dia tetap anak kecilku bagai dulu..namun fitrah hidupnya perlukanmu…

Jadikanlah dia wanita syurga..mengerti benar akan maharnya..taat itu bukan hanya pada nama…Indah ia pada maksudnya.

Aku impikan puteriku lisannya, kelembutannya, kesabarannya, kehalusan budinya dan keikhlasannya bak wanita syurga. Anakku perlu mengerti akan erti mahar yang diberikan olehmu padanya. Erti mahar itu adalah satu ketaatan. Ketaatan itu janjiNya adalah syurga.

Ku akur..akan pesanmu..Puterimu kini amanahku

Aku ingat sekali kata-kata Imam Al Ghazali “ yang paling berat di muka bumi ini adalah amanah”. Abah janjiku ini kelihatan ringkas namun aku faham akan beratnya ia..janganlah kau risau dan gusar akan aku benar-benar memegang amanahmu..

Iringilah..Dengan doamu..Bahagia kami dari redhamu

Namun abah aku pinta darimu doakanlah kami, kerana aku amat yakin redha Allah dalam keluarga baru ini ialah dari redhamu .



Oleh: Hazalinda Harun


No comments: